Friday, January 15, 2010

5 TEKNIK MENGAWAL MARAH

Marah merupakan perasaan yang normal yang Allah berikan kepada manusia. Akan tetapi, sekiranya perasaan marah tersebut tidak dapat dikawal, ia boleh menyebabkan seseorang bertindak di luar batasan sehingga membawa kesan buruk kepada hubungan sesama manusia. Ia boleh memisahkan antara suami isteri, merenggangkan hubungan antara sahabat, jiran tetangga dan impak yang lebih teruk boleh membawa kepada pergaduhan, pergelutan dan pembunuhan sesama manusia.

Untuk itu, Rasulullah S.A.W . telah mengajar beberapa teknik mengawal kemarahan bagi mengelakkan daripada melakukan perkara diluar batasan akibat daripada kemarahan yang telah menguasai diri. Antaranya adalah:

1- Berta’awuz:
Oleh kerana marah itu berasal dari syaitan, jadi kita dianjurkan untuk berta’awuz apabila perasaan marah itu datang.

Dari Sulaiman bin Shurad r.a berkata: “Ketika aku sedang duduk bersama Nabi s.a.w., dua orang sedang bertengkar sehingga salah seorang dari mereka menjadi merah wajahnya dan urat-urat lehernya timbul keluar. Maka Nabi s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang jika diucapkan nescaya kemarahannya akan hilang. Iaitu sebutlah “A’uzubillahi minash syaitan” nescaya kemarahannya akan hilang. (Shahih al-Bukhari, no: 3282, Shahih Muslim: 2236)

2- Diam. Kita dituntut untuk diam ketika marah.
Jika salah seorang dari kalian marah, hendaklah dia diam.” [Musnad Ahmad, 1/239]

3- Ubah kedudukan: Jika orang yang sedang marah itu berdiri , maka duduklah, Jika sedang duduk, maka baringlah:

Jika salah seorang dari kalian marah dalam keadaan berdiri maka hendaklah dia duduk agar marah hilang darinya. Jika tidak hendaklah dia baring” [Sunan Abu Daud, no: 4782]

4- Berwudhu’:
Sesungguhnya marah berasal dari syaitan dan syaitan berasal dari api. Sesungguhnya api itu dipadam dengan air. Oleh kerana itu jika salah seorang dari kalian marah, hendaklah dia berwudhu.” [Sunan Abu Daud, no: 4784]

5- Didik hati. Ingatlah, bahawa orang yang mudah marah, adalah orang yang lemah, dan Allah pula suka mukmin yang kuat. Oleh itu, untuk menjadi mukmin yang dikasihi Allah, didiklah hati untuk kawal kemarahan.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W. bersabda: Bukanlah orang yang dikatakan kuat itu, kuat dalam bergusti, tetapi yang dikatakan kuat adalah orang yang mampu menahan diri ketika marah. [Shahih al Bukhari: 6114, Shahih Muslim, no: 2235].

Mudah-mudahan bila kita dalam keadaan marah, kemarahan itu terkawal dan terpelihara dengan mengamalkan teknik-teknik seperti yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. ini.

*Peringatan buat diriku yang lupa*
*Peringatan buat diriku yang lupa*
*Peringatan buat diriku yang lupa*

No comments:

Uhibbu Hazihi Suar Hubban Syadidan