Monday, December 3, 2007

Dakwah bermula dari kerabat

Alfussalam buat pencinta perjuangan junjungan mulia Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallaam.. moga semangat untuk “menyampaikan” sentiasa panas melebihi semangat para pendakyah yang sesat dan suka menyesatkan orang lain..

Allah berfirman dalam al Furqan yang bermaksud: “Dan berilah peringatan kepada keluargamu yang terdekat” (surah as-Syu’araa’: 214)

Satu persoalan kerap bergelumang di lubuk minda. Mengapakah perintah berdakwah dimulakan dengan ahli keluarga? Apakah hikmah disebaliknya? Menyusuri sejarah umat terdahulu, banyak kisah dan pengajaran yang mungkin boleh diambil untuk menjawab persoalan di atas.

Contoh teladan utama, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, qudwah da’ie yang bijak, tidak dapat mengIslamkan bapa saudaranya, Abu Talib sehingga baginda wafat. Walaupun begitu, hubungan mereka begitu baik, rapat dan akrab. Inilah yang perlu diambil i’tibar. Baginda berdakwah tanpa henti dan dalam masa yang sama tetap menjaga adab dan tingkahlaku terhadap pakciknya. Malah sejarah telah mencatatkan bahawa Abu Talib tidak pernah menghalang usaha dakwah baginda.

Lain pula dengan kisah Sa’ad bin Abi Waqqas r.a, dia bertegas untuk tetap dengan cintanya terhadap Islam walau ibunya memberontak dengan mogok lapar setelah usahanya untuk memalingkan anaknya dari agama Islam tidak berjaya. Dengan keimanan yang teguh, Sa’ad berkata: “Demi Allah wahai ibuku! Jika engkau mempunyai 100 nyawa dan nyawa itu keluar satu persatu dari tubuhmu, nescaya aku tetap takkan meninggalkan agama Islam..!”

Tindakan Sa’ad ini amat bertepatan dengan kalam Allah yang bermaksud: “Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak engkau ketahitentangnya, maka janganlah kamu mengikuti keduanya itu dan bergaullah dengan mereka di dunia ini dengan baik..”

Ini menunjukkan bahawa walau apapun yang terjadi, kita mestilah berkelakuan baik terhadap kedua ibu bapa serta taati perintah keduanya selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syariat.

Contoh yang lain adalah seperti kisah Mus’ab bn Umair, pemuda bangsawan yang terkenal di Mikah telah dipulau oleh keluarganya sendiri dari rumah lalu ditangkap oleh kaumnya kerana keimanannya pada Allah. Zubair bin Awwam pula telah diikat dan diasap di atas penyalai dan dibiarkan kelaparan oleh bapa saudaranya sendiri.

Berbeza pula dengan kisah Abu Bakar as Siddiq yang berjaya mengIslamkan ibunya, manakala Tufail bin Amr ad Dausi telah berjaya mengIslamkan isteri, ibu bapa dan kaumnya.

Kisah-kisah ini seolah-olah memberi peringatan kepada kita bahawa hidayah itu adalah milik Allah, bukan milik manusia. Walaupun begitu, kita kena ingat bahawa Allah bukan menilai pada hasil, tapi pada usaha da’ie itu sendiri. Bukan soalan berapa ramaikah orang yang kamu Islamkan, tapi berapa ramaikah yang kamu pergi berdakwah kepadanya. Keluarga dan kaum kerabat adalah orang yang paling dekat sekali dengan kita, samada dari segi biological, psychological mahupun sosial. Kadangkala keluarga boleh jadi perhalang dan penentang yang besar dalam derap langkah dakwah sebagaimana Abu Jahal. Namun keluarga juga boleh jadi penyokong yang kuat dan pelindung tika menghadapi pelbagai rintangan dan tentangan seperti Abu Talib.

Perjuangan dalam medan dakwah tidaklah semudah yang disangkakan. Banyak duri-duri yang terpaksa dilalui dan ini menuntut pengorbanan yang besar serta kesabaran yang tinggi. Jika keluarga pun tidak mampu dihadapi, bagaimana hendak menghadapi orang luar?? Sesungguhnya, dakwah atau islahkan keluarga sendiri amatlah berat bagi mereka yang tidak tahan sabar dan lemah dalam melaksanakan tuntutan ini. Ini kerana mereka tersepit diantara menjaga hubungan dan menunaikan tuntutan agama.

Sebagai penyelesaiannya, kasih sayang terhadap keluarga itu sendiri mampu dijadikan batu loncatan bagi menunaikan tuntutan berdakwah ini. Jika betul sayangkan keluarga, adakah kita sanggup melihat mereka diseksa dan dibakar api yang panas di akhirat kelak?? Jika betul kasihkan keluarga, tidakkah kita ingin melihat mereka bahagia dan gembira dengan nikmat yang kekal di dalam syurga bersama para mukminin dan solihin?? Jika ya jawapannya, maka mulakanlah langkah anda hari ini juga. Janganlah tunggu esok hari, kerana mata belum tentu celik kembali. Nasihatkanlah mak ayah yang kurang sempurna tutup auratnya, tegurlah adik beradik yang tidak cukup solat fardunya, beritahulah kepada sepupu sepapat tentang reality hiburan yang melalaikan umat Islam dan sebagainya.

Ingat, walau mereka menolaknya sekarang, tidak mustahil hati-hati mereka akan terbuka satu masa yang akan datang. Oleh itu, janganlah terlalu cepat berputus asa, hidayah Allah ada di mana-mana. Berdoalah kesejahteraan untuk mereka di dunia dan di akhirat dan pintalah agar kita tetap tsabat di jalanNya. Moga benih yang disemai akan berbuah atas rahmatNya. Wallahu’alam.

*rugi sape yang tak join mukhayyam haritu.. 

1 comment:

zaini_jb said...
This comment has been removed by the author.

Uhibbu Hazihi Suar Hubban Syadidan